Waktu sudah hampir raya Cina ini banyak gerai menjual limau di tepi jalan menghala ke Seremban. Bila ke Seremban, saya perlu melintasi kawasan Kampung Baru Rahang yang penduduknya ramai berbangsa Cina. Semalam saya singgah di sebuah gerai menjual limau berhampiran simpang ke Forest Height.
Gerai ini menawarkan beberapa jenis limau. Ada yang bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Kebanyakan limau yang dijual diimport dari China. Semalam seperti biasa saya menengok-nengok semua jenis limau yang dijual. Saya tanya penjualnya satu persatu berapa harga sekotak dan bagaimana saiz limaunya. Tinjauan saya membawa saya ke belakang kotak limau yang disusun seperti bata dinding itu.
"Ini limau apa pula?" tanya saya sambil menunjuk kepada kotak limau. Saya perhatikan gambar limau di kotak lain coraknya walaupun masih berasaskan warna merah. Di kotaknya juga nama limau dalam tulisan Cina berlainan dengan yang lain. Berbeza dengan kotak limau lain yang menuliskan perkataan musim bunga berpanjangan, di kotak limau ini tertulis perkataan yang membawa makna 'kemewahan'.*
"Ini limau istimewa. Limau madu dari Taiwan," kata Jinjang Joe yang menjual limau itu.
"Apa istimewanya?" seperti biasa, penjual ini menerima soalan-soalan yang sudah menjadi cap mohor diri saya.
"Limau ini dari Taiwan," terang Jinjang Joe itu lagi.
"Habis tu, apa yang istimewa?" tanya saya lagi. "Di Taiwan, buah limaunya, masih juga limau bukan?"
"Limau ini istimewa kerana inilah limau yang menjadi raja segala limau. Mutunya jauh lebih baik daripada limau yang lain," sambil bercakap, JJ itu membuka sekotak limau itu. Di dalamnya limau itu tersusun rapi dan setiap satu terbungkus dalam plastik terang yang ada cop nama limau itu di atasnya. Ada dua lapis limau di dalamnya. Satu lapis ada 15 biji.
"Berapa harganya?" saya mula menunjukkan minat.
"RM30.00 sekotak."
"Mahalnya. Patutlah dikotaknya ada perkataan 'kemewahan'" saya mengomel dalam hati.
"Mengapa mahal sangat?"
"Limau ini rasanya lain daripada limau dari Cina. Sebab itu ia mahal."
"Betulkah? Kalau saya beli dan dapati tidak manis, boleh pulangkan?"
"Boleh," pantas JJ itu memberi pengakuan.
"Siapa yang selalu beli limau ini" tanya saya lagi inginkan kepastian limau itu memang berpadanan dengan harganya.
"Ramai. Sesiapa yang sudah merasa limau ini selalunya akan datang lagi membelinya," begitu kata-kata JJ itu untuk meyakinkan saya supaya membeli limau itu.
"Orang Cinakah atau ada bangsa lain yang juga membelinya?" saya tanya lagi biar puas dia menjawab.
"Cina ada, Melayu pun ada. India juga membeli limau ini apabila tahu kesedapannya."
Ada lagi soalan-soalan lain yang saya tanyakan. Ada yang berkenaan limau itu dan ada yang berkenaan kenapa ada kotak-kotak limau yang dibuka dan dibiarkan berjemur di tengah panas. Betulkah semalam di Rahang ada hujan turun sedangkan di rumah saya hujan tidak turun. Mengapa ada limau yang dibungkus di dalam kotak kayu. Sehingga bila JJ itu akan membuka gerainya dan juga di mana kampung halaman dan rumahnya...
Saya akhirnya membeli sekotak setelah menelefon ibu sama ada mahu mencuba limau dari Taiwan itu. Oleh sebab limau itu mahal harganya, saya dibenarkan memeriksa setiap biji limau yang ada di dalam kotak sebelum bersetuju menerima kotak yang diberikan. Mujur juga, kerana ada limau di lapisan bawah kotak pertama yang kurang elok keadaannya.
Sesudah membayar limau itu, saya terus mengupas sebiji dan memakannya. Tidaklah begitu jauh bezanya dengan limau lukam biasa. Begitu pandangan saya ketika itu. Namun duit sudah bertukar tangan, saya tidak boleh memulangkan limau itu.
Sewaktu singgah di kedai kawan dalam perjalanan pulang, saya memberi beberapa biji kepada Abby, anak tuan kedai yang sangat rapat dengan saya. Esoknya ibu Abby menghantar SMS bertanya di mana saya beli limau itu. Sedap sungguh katanya dan ada pelanggannya yang juga bertanya di mana limau itu dijual.
Memang benar limau itu enak rasanya. Berpadanan dengan harganya yang mahal. Kata ibu, seakan-akan limau mandrin bercampur limau bali rasanya. Rupanya sudah sampai di rumah baru terasa keenakkan limau itu.
Bercerita tentang limau, saya teringat waktu di sekolah rendah dahulu. Ada limau mandrin yang tawar rasanya. Hendak tahu kenapa? Saya akan tuliskan setelah selesai kerja yang perlu saya hantar sebelum Tahun Baru Cina ini.
*Semua terjemahan berdasarkan pengetahuan seorang yang lulus darjah enam sekolah jenis kebangsaan Cina. Oleh itu apa-apa kesilapan dalam makna, mohon dimaafkan.
0 komentar:
Posting Komentar